Friday, 14 December 2018

TAJUK 4: ORGANISASI DAN KEPIMPINAN


Organisasi merupakan suatu sistem aktiviti kerjasama yang dilakukan oleh dua orang atau lebih. Selain itu juga, organisasi adalah sekelompok orang (dua atau lebih) yang secara formal dipersatukan dalam suatu kerjasama untuk mencapai tujuan yang telah ditetapkan. Manakala, kepimpinan bermaksud proses pengarahan tingkah laku orang lain ke arah penyempurnaan sesuatu objektif. Pengarahan bermaksud seseorang individu bertindak mengikut cara tertentu atau mengikut sesuatu seperti polisi, organisasi, tatacara dan deskripsi kerja. 

Menurut Jamaliah Abdul Hamid (2005: 65), kepimpinan adalah daya mempengaruhi tingkah laku seseorang itu sehingga menyebabkan beliau sanggup memberi kerjasama untuk mencapai sesuatu matlamat yang dipersetujui. Dalam konteks kepimpinan sesebuah komuniti, kepimpinan ditakrifkan sebagai daya pengaruh ke atas tingkah laku seseorang untuk mencapai matlamat bersama dengan menggunakan sistem dan sumber yang diiktirafkan oleh komuniti tersebut. Maka, daripada takrifan tersebut dapat diperlihatkan juga bahawa kepimpinan sebenarnya adalah pengaruh seseorang yang dibenarkan atau diterima oleh pengikut atau subordinatnya kerana kewujudan peruntukan atau kesefahaman tentang peranan dan kuasa pemimpinan di dalam sesebuah sistem tersebut.

Kepimpinan peringkat sekolah terbagai kepada 5 komponen. Pengetua, yang berperanan merancang dan menyelia pengurusan kurikulum dan membimbing warga sekolah. Penolong Kanan Pentadbiran, merancang dan menyedia jadual waktu dan guru ganti serta menyedia dan menganalisis keputusan perangkaan keputusan peperiksaan. Penolong Kanan HEM, menguruskan pendaftaran dan penyaluran murid dan menyelaraskan tugas dan aktiviti lembaga Disiplin Murid dan Badan Pengawas sekolah. PK Ko Kurikulum, merancang pembangunan kokurikulum dan menyelaras semua kegiatan-kegiatan persatuan, kelab dan persatuan unit beruniform. Guru Kanan Bidang, mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa mata murid dan menyelaraskan rancangan palajaran tahunan serta menyemak buku latihan murid secara rawak.

Seterusnya, jenis-jenis gaya kepimpinan pertama adalah transformasional merupakan gaya dimana pekerja diberi kuasa untuk menjalankan tugas yang tertentu serta diberi kuasa untuk membuat keputusan setelah mereka benar-benar mahir. Kedua, kepimpinan transaksional yang merupakan pemimpin yang mempunyai autoriti dan tanggungjawab yang formal dalam sesebuah organisasi. Mereka akan menetapkan beberapa kriteria yang perlu dipatuhi oleh pekerjanya. Ketiga, kepimpinan jenis instruksional, gaya ini memerlukan ketua untuk menetapkan matlamat yang jelas, menguruskan kurikulum, memantau rancangan murid, memperuntukkan sumber dan menilai guru secara teratur. Pengetua dan guru sentiasa berbincang tentang cara kerja mereka untuk menjadikannya lebih baik.



Tuntasnya, kepimpinan dan organisasi amat penting bagi membangunkan sesebuah pentadbiran yang licin. Organisasi mempunyai ahli-ahli (para guru) yang menyokong dan memberi bantuan serta mengikuti arahan pemimpinnya (pengetua) dalam melaksanakan sesuatu perkara di dalam kawasan sekolah atau di luar kawasan sekolah. Dalam hal ini, pengetua berperanan sebagai pemimpin, setiap guru mempunyai peranan masing-masing semasa berada di sekolah.

Rujukan:
1. Abdul Rahman Abdul Majid. (2010). Kepimpinan dan Penyeliaan Instruksional. Pusat Bandar Puchong: Multimedia Sdn. Bhd.
2. Ibrahim Mamat. (2001). Pengetua Sekolah Menangani Isu dan Cabaran Kepimpinan. Subang Jaya, Selangor: Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

3. Jamaliah Abdul Hamid & Norashimah Ismail. (2005). Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan. Shah Alam, Selangor: Universiti Putra Malaysia 2005.








No comments:

Post a Comment